Notes to Graduating Scholars
PERSIAPAN UNTUK PULANG KE MALAYSIA
KHUSUS UNTUK PELAJAR-PELAJAR TAJAAN PETRONAS TAHUN AKHIR SESSI SPRING 2009
Bagi pihak Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS, saya ingin mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir. Saya mendoakan semoga
anda memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan ini.
Sebagaimana yang anda sedia maklum, sebaik sahaja tamatnya peperiksaan ini anda
perlu membuat segala persediaan dan persiapan untuk pulang ke tanahair, Malaysia.
Sehubungan dengan itu, untuk memudahkan urusan penghantaran pulang, jabatan ini
meminta kerjasama dari anda untuk mematuhi segala garis panduan yang telah
ditetapkan oleh pihak PETRONAS sebagaimana yang tercatat di bawah:-
KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
Anda dikehendaki menghantar keputusan peperiksaan ke pejabat ini sebaik saja
keputusan tersebut diumumkan.
Sekiranya anda gagal dan dibenarkan mengulang oleh pihak universiti anda adalah
dikehendaki mengemukakan surat rayuan dan surat pengesahan daripada universiti ke
pejabat ini dengan segera bagi urusan permohonan penyambungan penajaan.
TEMPAHAN TIKET KAPALTERBANG
Sila buat tempahan tiket penerbangan dengan menghubungi agensi penerbangan Harmony
Travel di (718) 803-8878: (Ms Kelly) atau menerusi email dialamat: Harmony1902@yahoo.com.
Sila kemukakan maklumat-maklumat berikut semasa membuat tempahan:
1. Nama (First Name dan Last Name)
2. Tarikh Penerbangan
3. Destinasi dan Lapangan Terbang terlibat
4. No. Telefon (US)
Anda juga dikehendaki menghantar jadual penerbangan tersebut ke pejabat ini secepat mungkin.
Anda adalah dinasihatkan untuk menyemak dengan pihak universiti tarikh keputusan
peperiksaan diumumkan sebelum menetapkan tarikh penerbangan balik ke Malaysia. Oleh
kerana peraturan yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan, pejabat ini tidak dapat
menimbang sebarang permintaan untuk meminda tarikh penerbangan, kecuali dengan bayaran
penalti, ditanggung sendiri oleh anda.
Sekiranya anda gagal atau dikehendaki menduduki semula, anda adalah diminta untuk
menghubungi pejabat ini dengan segera untuk membolehkan pindaan tarikh penerbangan
dibuat.
Sekiranya sessi pengajian anda tamat pada bulan Mei, anda dimestikan pulang
ke tanahair selewat-lewatnya 30 Jun 2009. Kegagalan anda untuk
mematuhi syarat ini tanpa alasan yang munasabah atau kelulusan dari pejabat ini akan
melupuskan kelayakan mendapatkan tiket kapalterbang dari PETRONAS.
Penerbangan anda akan dibiayai dari lapangan terbang yang terdekat dengan tempat
pengajian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau lapangan terbang
yang terdekat dengan tempat kediaman anda di Malaysia.
Untuk makluman anda, PETRONAS akan membiayai kemudahan tiket kelas Ekonomi sahaja.
ELAUN SARA HIDUP
Jabatan akan membayar elaun sarahidup sehingga bulan Jun 2009 sahaja bagi anda yang
tamat sessi pengajian dalam bulan Jun. Sekiranya sessi anda tamat lebih awal iaitu
dalam bulan Mei, maka elaun akan dibayar sehingga penghujung bulan Mei sahaja.
Ini adalah selaras dengan perjanjian yang telah anda tandatangani.
Sekiranya anda dikehendaki oleh pihak universiti untuk berada di negara ini melewati
dari bulan Jun, maka anda hendaklah menghubungi pejabat ini dengan mengemukakan surat
pengesahan daripada universiti.
ELAUN AKHIR PENGAJIAN
Elaun Akhir Pengajian adalah sebanyak US$404.00. Pembayaran elaun tersebut hanya akan
dibuat setelah jadual penerbangan pulang diterima oleh pejabat ini.
ELAUN THESIS
Sekiranya diwajibkan untuk menyediakan 'thesis/dissertation project' oleh universiti,
anda bolehlah membuat tuntutan daripada PETRONAS dengan mengemukakan butir-butir
pebelanjaan yang telah dibuat beserta dengan surat pengesahan daripada universiti.
Kadar yang diluluskan adalah tidak melebihi US$546.00 bagi Ijazah Pertama.
MELAPORKAN DIRI KEPADA PIHAK PENGANJUR
Anda diwajibkan melapor diri di pejabat Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS
selewat-lewatnya dua (2) minggu dari tarikh tiba di Malaysia.
Alamat Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS ialah:
Tingkat 9, Menara 1,
Menara Kembar PETRONAS, KLCC,
50088 Kuala Lumpur.
No.Telefon : 03-2331-3431 / 03 2051-3431
(En M Zafril Rizal Md Nor, Pre-U Desk Officer).
Sila sertakan semasa melapurkan diri:
2 keping gambar pasport terbaru
2 salinan keputusan/transkrip*
2 salinan Ijazah* jika ada,
2 salinan Resume
2 salinan surat "special awards" atau "recommendation"*; jika ada.
* sila bawa dokumen asal untuk tujuan pengesahan
PERTANYAAN / KEMUSYKILAN
Sila patuhi segala garis panduan yang tertera di atas. Sekiranya anda mempunyai
sebarang kemusykilan atau pertanyaan, bolehlah hubungi pejabat ini melalui e-mail
di alamat petronaswdc@yahoo.com
Akhir kata bagi pihak Unit Penganjuran Pendidikan PETRONAS, saya mengucapkan
SELAMAT MAJU JAYA kepada anda. Semoga anda mendapat kejayaan yang cemerlang
dan seterusnya dapat menyumbangkan ilmu dan kemahiran anda untuk pembangunan
ugama, negara, syarikat dan bangsa setelah kembali ke Malaysia.
Sekian. Terima kasih.
Copyright 2009 Education Sponsorship Unit