Interview with Tan Sri President, Rencana UTUSAN - Ahad Oktober 31, 2004
INTERVIEW WITH TAN SRI PRESIDENT (CEO, CHAIRMAN OF PETRONAS)
Tan Sri dikatakan seorang yang kedekut dalam soal perbelanjaan Petronas. Betul ke?
HASSAN: Ya, saya kedekut. Tapi bukanlah dalam erti kata kedekut sebenar. Cuma saya
tidak suka melihat pembaziran. Kalau nak kena belanja, walaupun RM10 juta, kalau
kita kena belanja dan belanja betul, kita belanja. Tapi kalau kita nak belanja RM10
tapi tak berfaedah, saya kata tak perlu. Saya datang dari satu tempat dulu (semasa
menjadi rakan firma audit HRM) kita bagi pen dan pensel free kepada kakitangan buat
kerja. Tapi kalau depa mai nak ambil yang baru, dia kena bawa balik yang sudah habis
dipakai. Kalau dia tak bagi, saya bagi tahu kepada penjaga stor, jangan bagi. Kalau
tidak dia akan membazir. Saya guna amalan ini di Petronas.
Tan Sri buat macam itu di Petronas?
HASSAN: Falsafahnya sama. Kalau kita nak buat apa-apa sama ada RM1 atau RM10 atau
RM1 juta atau RM10 juta itu bukan relevannya, pertamanya anda perlu justify
(membuktikan) perbelanjaan itu adalah wajar dan membawa faedah.
Saya mengaku saya kedekut, lagipun ia bukan duit saya, duit rakyat. Saya di sini hanya
sebagai pemegang amanah.
Di luar, Tan Sri seorang yang cukup sederhana. Walaupun antara CEO bergaji paling tinggi
di Malaysia, Tan Sri masih tinggal di rumah biasa berkembar dua, mengapa?
HASSAN: Saya selesa, lagipun ia hanyalah sebuah rumah. Saya tinggal di Ampang Jaya. Bagi
saya ini semua sementara sahaja. Saya beli rumah itu 20 tahun lalu dengan harga RM240,000,
tanah dia besarlah juga. Masa itu saya di HRM. Arwah bapa saya dan arwah tok wan (datuk)
saya selalu mengajar saya jangan membazir dan jangan hidup menunjuk-nunjuk. Kita hidup
sederhana saja. Ini semua cara saya dibesarkan. Tok wan saya kastam dan bapa saya polis,
bapa saya pun beli rumah teres di Ampang Jaya sebelum dia bersara sebagai pegawai polis.
Betul ke semasa Tan Sri berjawatan ini, Tan Sri pernah balik kampung di Kedah naik bas?
HASSAN: Ya, saya pernah naik bas balik kampung. Apa salahnya. Isteri saya pun naik bas ke
Singapura. Ini semua atas diri kita. Kadang-kadang ada orang tegur kerana kita makan di
gerai, tapi bagi saya apa salahnya, bukan kita buat perkara-perkara yang tidak bermoral.
Tidak bolehkah kita jadi orang biasa? Di kampung kalau balik, saya naik Honda Cup pak
menakan (bapa saudara) saya punya, pakai kain dan kemeja-T keliling sampai Semeling
(dekat Merbok, Kedah) (ketawa).
Jadi inilah siapa Tan Sri sebenarnya. Kalau macam itu duit Tan Sri yang banyak itu buat apa?
HASSAN: Apa sahaja kemewahan yang ada, saya letak tepi untuk pendidikan anak-anak saya.
Itu sahajalah yang akan mereka ada, pendidikan. Sama seperti bapa saya buat, tak ada
harta benda apa pun, pelajaran sahaja.
Tapi jika mengambil kira itu pun, duit Tan Sri masih banyak?
HASSAN: Yalah, kita laburlah sikit sana sikit sini (ketawa).
Benarkah Tan Sri adalah CEO yang paling tinggi dibayar di Malaysia?
HASSAN: Persepsi kata Petronas bayar gaji tinggi sebenarnya tidak benar. Jika dibandingkan
dengan kakitangan kerajaan lain, tinggilah sikit. Malah jika dibandingkan dengan naib-naib
presiden saya gaji mereka tidak ke mana berbanding pegawai-pegawai kanan di bank-bank tempatan.
Kalau ahli lembaga pengarah, dapat RM3,000 sahaja sebulan, itu pun saya baru naikkan,
sebelum ini hanya RM1,000 sebulan sahaja.
Pengerusi Petronas (yang dipegang oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Zainol Abidin) hanya
RM5,000 sahaja sebulan.
Saya pernah katakan kepada kakitangan saya, siapa yang sanggup berkhidmat dengan Petronas
ialah jenis orang yang luar biasa. Mereka ini, terutamanya di peringkat senior mempunyai
semangat nasionalisme dalam darah mereka. Berkhidmat untuk negara. Saya datang dari sektor
swasta, ada orang kata apa bodoh sangat masuk kerajaan. Tapi saya kata ini adalah untuk
negara dan saya mendapat kepuasan kerana saya dapat bagi balik kepada negara. Cabaran
hari ini ialah untuk mendapatkan anak-anak muda dalam organisasi ini, untuk berkongsi
dengan jenis orang yang luar biasa itu. Kerana generasi muda ini, dia semua nak cepat,
nak tengok material.
Jika sekarang kita kakitangan dan dinaikkan pangkat sebagai naib presiden, dia kena berhenti
sebagai kakitangan Petronas dan masuk dalam skim kontrak selama tiga tahun. Apa yang
dia nikmati sebagai kakitangan dulu termasuk faedah-faedah persaraan dalam KWSP
dipindahkan ke skim kontrak.
Jumlah kakitangan Petronas, termasuk anak syarikat Malaysia International Shipping
Corporation Berhad (MISC) sekarang 20,000 termasuk luar negara semua sekali 25,000.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menafikan bahawa Petronas tidak pernah menyiarkan
penyata kewangannya. Walaupun, kami bukan syarikat senaraian awam tetapi kami
mengeluarkannya dan menyiarkan dalam laman web, bahan bercetak yang kemudiannya
diagih-agihkan. Petronas diberikan penarafan kerana ia memudahkan kami membuat
pinjaman untuk operasi.
Tan Sri ada jet Petronas, tapi jika menggunakan penerbangan komersial, adakah Tan
Sri turun gred ke kelas perniagaan?
HASSAN: Saya tidak turun gred ke kelas perniagaan, saya kekal di kelas pertama
kerana dua sebab. Pertama, saya boleh sampai ke London dan terus bekerja, jadi
saya nak ambil peluang untuk tidur dalam pesawat, kedua, kedudukan yang saya bawa.
Kalau tidak naik kelas pertama dan naik kelas perniagaan orang akan perhati dan you
adalah CEO Petronas, ini soal imej dan persepsi orang, itu kena jaga juga.
Tapi jika saya pergi London atas urusan peribadi dan bersama keluarga, mungkin saya
pergi ekonomilah.
Tan Sri ini betul-betul kedekutlah?
HASSAN: Kalau nak kata kedekut, kedekutlah. Kita kena bagi tahu anak-anak kita benda
ini susah, bukan dapat mudah, dapat pi London dan naik kapal terbang itu sudah cukup
baik. Ia adalah bagaimana kita membentuk minda mereka, kalau tidak depa ingat kita
dapat senang-senang saja. Anak saya ada empat orang, dua masih kecil darjah enam dan
tingkatan tiga, seorang di universiti habis tahun depan dan seorang lagi dah kahwin.
Kita pernah nampak, Tan Sri bawa bungkusan dalam plastik ulam dari rumah ke meja makan
semasa berbuka puasa dengan para wartawan. Nampaknya Tan Sri adalah peminat ulam?
HASSAN: Betul, saya suka makan ulam. Ulam raja, pucuk janggus (gajus), pucuk putat.
Saya tanam sendiri, pokok munggai pun ada di rumah. Di pejabat setiap hari, saya makan
nasi bekal. Isteri saya masak dan dihantar ke pejabat. Kalau saya keluar makan tengah
hari, habis banyak masa. Puas makan makanan dari rumah, ada gulai ikan ka, dan macam-
macam lagi, puaslah. Kerana kadang-kadang kita pun ada macam-macam majlis dan makan
malam yang perlu hadir, jadi tengah hari kita ambil kesempatan makan lauk dari rumahlah,
sambal ikan kering mesti kena ada (ketawa).
Copyright 2000-2005 Education Sponsorship Unit